Saturday, August 29, 2009

Tuah Tun Jebat

Bukan sekali orang berkisah
Perihal Jebat dan juga Tuah
Sahabat karib masyhurlah sudah
Terpisah jua angkara fitnah.

Tiada disangka tiada terduga
Titah Sultan punya angkara
Kurang siasat duduk perkara
Tuah dihukum tanpa bicara.

Di hati Bendahara sungguh terkilan
Umpan di air ikan tak makan
Puas difikir bermacam jalan
Melepaskan Tuah dari hukuman.

Lalu diulang memberi nasihat
Agar Sultan teliti siasat
Punca angkara Tuah terjerat
Hingga demikian hukuman berat.

Namun sia-sia segala usaha
Kerana dalangnya Karma Wijaya
Menghasut Sultan melacur kuasa
Membuang Tuah dengan segera.

Sebelum Tuah dihukum buang
Sempat ia berpesan bilang
Pada Jebat sahabat tersayang
Suatu amanat untuk dipandang.

"Adikku Jebat dengarlah peri
Berbuat baik tiadalah rugi
Asal berpada tak buta-tuli
Namun jahat usah sekali".

Dengan renungan matanya tepat
Jebat menyahut penuh muslihat
Entah apa makna tersirat
Di hati Tuah bimbang bersarat.

"Abangku Tuah, usahlah bimbang
Berbuat baik tetap kujuang
Namun jika tersandung sumbang
Jahatku juga bukan kepalang".

Akan SiTuah diamnya tabah
Sedia mati menjunjung titah
Walau diri tiada bersalah
Namun setianya tiada berbelah.

Tapi diam Jebat umpama barah
Menunggu masa meledak pecah
Tiada dihirau pesan Tun Tuah
Padah dan tulah sudah ditelah.

Retak bagai menanti belah
Sembah derhaka kian terserlah
Jebat mengamuk menyanggah titah
Membela Tuah menebus maruah.

Dalam amarah Jebat bersumpah
Akan ditagih hutangnya darah
Biar mati bergalang tanah
Dari bertuan raja yang lemah.

Khabar tersebar seluruh Melaka
Jebat dianggap hamba derhaka
Hingga Sultan terlalu murka
Jebat tak boleh diberi muka.

Namun di hati Sultan yang buta
Sudah bernanah kudis dan kusta
Menghukum Tuah membabi-buta
Kesal tak sudah tiada terkata.

Barulah Sultan sedarkan diri
Hati yang rabun cerah kembali
Barulah kenal kaca baiduri
Air ludahan dijilat kembali.

Adapun SiTuah tiadalah mati
Hanya disimpan di hujung negeri
Oleh Bendahara yang baik budi
Dengan helah muslihat bistari.

Demi kepentingan negeri dan diri
Sanggup Sultan mencemar duli
Menjemput Tuah balik ke sisi
Membuang daging yang penuh duri.

Tiada tergamak di hati Tuah
Membuang sahabat begitu mudah
Tapi demi sebuah titah
Tuah sedia bermandi darah.

Kalau diturut hati nan berat
Tiadalah sanggup menentang sahabat
Sementelah pula keris keramat
Sudah berpindah ke tangan Jebat.

Lalu Tuah mencari helah
Merebut kembali keris bertuah
Dipujuk Jebat mengaku kalah
Agar tiada darah yang tumpah.

Namun Jebat pantang menyerah
Sekali perahu sudah ke tengah
Biarpun dayung bermandi darah
Tetap digagah menongkah arah.

Tapi sudah kehendak Tuhan
Jebat tak dapat lagi bertahan
Dengan tipu helah pahlawan
Keris kembali kepada tuan.

Demikian bisa keris pusaka
Taming Sari empunya petaka
Sekali tertusuk badan celaka
Tewaslah Jebat konon derhaka.

Dalam derhaka Jebat bertakhta
Di hati rakyat yang belum buta
Barulah tahu duduk perkara
Setelah Jebat hilang di mata.

Pernah sekali Jebat berperi
Derhakaku ini tiadalah rugi
Di suatu masa di kemudian hari
Namaku akan dijulang tinggi.

Adapun Tuah tiadalah pasti
Sesal berbaur pilu di hati
Benarkah demikian takdir Illahi
Atau silap perhitungan diri.

Akan SiJebat tiadalah ragu
Sungguh bertuah punya Dang Baru
Isteri mulia tempat mengadu
Wangi busuk sama dihidu.

Tinggalan Jebat baranglah tentu
Anakanda putera itulah satu
Diasuh diajar Tun Tuah selalu
Menurut amanat Jebat dahulu.

Begitu bertuah diri Tun Jebat
Dalam malang tuah bertempat
Punya isteri dan juga zuriat
Zahir jasanya hanya tersirat.

Tuah ayam nampak di kaki
Tuah insan sukar kenali
Demikian tersurat dari azali
Segala rahsia kemudian hari.

Tibalah masa tuah mendatang
Nama Jebat kini ditatang
Konon dialah wira gemilang
Membetul langkah Sultan yang sumbang.

Demikian sejarah ulang-berulang
Masih berlaku zaman sekarang
Hanya berbeza watak dan sarang
Berlainan cara keris bersilang.

Bukan memuji derhaka Jebat
Cuma menghayati sirah tersurat
Buat sempadan umat sejagat
Agar tidak melatah siasat.

Perlu ditegur jejak Tun Jebat
Mengamuk membunuh ikut firasat
Firasat bertunjang petunjuk sesat
Sesat dihasut syaitan keparat.

Demikian jua dengan Tun Tuah
Berbuat bakti tiada kisah
Silap khilaf diambil mudah
Asal titah tidak disanggah.


Namun demikian jarang berlaku
Orang melihat dengan ilmu
Hanya menjeling sekali lalu
Terus menafsir dengan melulu.

Alangkah sedih bercampur hiba
Manusia alpa dirinya hamba
Nafsu diikat tamak haloba
Menunggu kuasa jatuh ke riba.

Demikian terjadi di hari ini
Sejarah berulang silih berganti
Ampu di sana kipas di sini
Fitnah ditabur ke sana ke mari.

Kalaulah Jebat masih ada
Apakah akan disanggah juga
Perintah gila hukum rimba
Bertuhankan kuasa harta-benda.

Atau SiJebat akan turut serta
Menjadi pak turut semata-mata
Walau salah tampak di mata
Di hati berpura tuli dan buta.

Hingga mahkamah menjadi mangsa
Tempat berlindung orang berkuasa
Bukan lagi neraca menimbang rasa
Adil membela rakyat biasa.

Pernah dahulu Tuah berkata
Takkan Melayu hilang di dunia
Setelah melihat setelus mata
Tepuklah dada tanya selera.

Benar seperti telahan Jebat
Hidup harus bersendi adat
Tetapi jika adat sudah diperalat
Apa lagi diharap kepada adat.

Sepatah kata Jebat bermadah
Sangat tersohor dalam sejarah
Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah.

Sampai di sini titik berhenti
Sedikit riwayat tokoh jauhari
Sekadar renungan hati ke hati
Buat teladan anak bistari.
Wallahhua'lam.....

No comments:

Post a Comment

Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com