Saturday, August 29, 2009

Rajuk Malam

Malam.......
Indah nian warnamu
Yang terzahir adalah suram
Dalam terang yang terhijab
Hening-bening dan syahdu bertaut
Dan malam pun berdikir.....
Mengulit hati yang asyik.

Di luar jendela
Purnama berkaca
Seakan berhias manik perada
Di penjuru langit letak kejora
Kerdipan dan kilauan
Menikam mata
Menawan sukma dengan pesona.

Sedang bunga-bungaan di laman

Berjuntaian di julai
Lalu pawana menerpa
Menyapa puspa jelita
Seraya menghantar haruman
Ke puncak gunung
Merentas lautan saujana.

Bermandikan cahaya bulan
Seiring desiran semilir
Terusap wajah ayu
Mengelus lembut hati nan gundah
Sekuntum bunga kelayuan
Nanar dan pilu
Sedang menimbang akal budi
Celaru dan keliru.

Semalam pun berlalu
Terbiar menangis hiba
Dalam gerimis duka
Menyaksikan syahdunya terusik
Indahnya ternoda.

Dalam samar cahaya
Ada insan hilang pedoman
Terungkai simpulan iman
Gugur titis noda
Mencemar bumi Tuhan.

Demikian citra satu malam
Nikmat yang datang
Kemudian sirna dan muncul lagi
Tanpa dihargai
Kerana tiada akad jual-beli.

Rajuknya tiada yang peduli
Lantaran yang menikmatinya
Sudah buta dan tuli
Mati akal dan hati
Untuk mengucap syukur
Pada yang menjadikan alam
Dan malam yang hening sepi
Penuh nikmat dan hikmat.

No comments:

Post a Comment

Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com