Saturday, August 29, 2009

Fais Munira

Sebermula kisah seorang puteri
Siti Munira nama diberi
Tinggal di pinggir sebuah negeri
Sahabat karib Fais Zahari.

Asal kisah dua sahabat
Dari kecil sangatlah rapat
Sepakat bermain tidak mengelat
Sama merasa manis dan kelat.

Masa berlalu silih berganti
Mekarlah kuntum di taman sari
Di dalam diam Fais bermimpi
Menyunting Munira sebagai isteri.

Sedang di kalbu cinta berputik
Kepada Munira hatinya asyik
Datanglah berita sudah terbetik
Siti Munira sedang dirisik.

Akan Munira tiadalah suka
Menerima lamaran Putera Bukhara
Tasik hatinya berladung bara
Menyimpan dendam rindu yang lara.

Sampailah hati sahabat bistari
Tiada menjenguk walau sehari
Demikian rajuk hati puteri
Akan tingkah Faiz Zahari.

Adapun Fais tersangat durja
Dari pagi bawa ke senja
Siti Munira bunga dipuja
Kini disunting sang putera raja.

Arakian dikumpul segala kekuatan
Pada Munira dipersembahkan
Segunung cinta, kasih selautan
Selama ini karam di dasaran.

Lalu dikirim warkah utusan
Ingin bertemu Munira pujaan
Tiadalah lain niat sisipan
Sekadar meluahkan impian terkilan.

Tepat waktu yang dijanjikan
Bertemulah pandang dua insan
Walau rindu saling bertautan
Namun tingkah ada batasan.

"Aduhai Fais Zahari sahabatku
Sampai hati demikian laku
Pada Munira hatimu beku
Tiadakah belas akan nasibku?".

Sayu di hati Faiz Zahari
Mendengar demikian Munira berperi
Bukanlah maksud kemahuan diri
Mahu menyeksa hati puteri.

Lalu Fais menyusun madah
Memujuk Munira bukanlah mudah
Silap dirinya lewat mengubah
Bunga idaman dipetik sudah.
"Usahlah Munira tersilap duga
Kasihku padamu tiadalah harga
Sanggup kukorban jiwa dan raga
Di sanubariku, tuanlah syurga".

"Aduhai Munira dengarlah sayang
Perasaan kasih bukan kepalang
Berpisah jasad nyawa melayang
Ikatan kasih tak akan goyang".

"Tiadalah manis kita melatah
Memungkiri janji hidup tak betah
Patuhlah kehendak ibu dan ayah
Kelak itulah membawa tuah".

"Ingatlah tuan ungkapan madah
Berkerat rotan tentulah patah
Bercerai kasih tiada penyudah
Jika demikian ketentuan Allah".

Akan Munira ketahuilah sudah
Cintanya tiada bertepuk sebelah
Andai terawal menyusun langkah
Tentu bahagia kini menyerlah.

Hiba dan pilu menginjak diri
Menghitung hari kian berlari
Walau perit tertusuk duri
Harus diusaha mengubat diri.

Usah dikesal kasih tak sudah
Andai demikian takdirnya kisah
Walau jauh jarak berpisah
Namun ingatan tak mudah goyah.

Sebelum berpisah janji dipasung
Tidak bertemu atau berkunjung
Adat ditatang agama dijunjung
Demi cinta suci terulung.

Masa akan mengubat pilu
Sabar itu penawar rindu
Jika tersandung jodoh bertemu
Walau dielak pasti berlaku.

Syahadan tinggallah Munira sendiri
Menunggu masa menanti hari
Dibawa pergi putera jauhari
Ke istana indah hujung negeri.

Tinggallah Munira dalam mahligai
Menjeruk duka hatinya relai
Kenangkan Fais janji termeterai
Doa dipanjat hajatkan sampai.

Demikian jua Fais Zahari
Sentiasa terkenangkan kekasih hati
Duduk berdoa ke hadrat Illahi
Semoga Munira tabahkan hati.

Setelah tahun berganti tahun
Akhirnya Fais bertemu calon
Puteri desa sopan dan santun
Penyejuk hati bagaikan embun.

Akan Munira tiadalah pasti
Bahagia itu apakah erti
Zahir tersenyum tidak di hati
Hidup terasa bagaikan mati.

Tiadalah hajat tiadalah harap
Umpama terbang tiada bersayap
Bangunlah Munira di dalam gelap
Mencari sinar cahaya yang malap.

Lalu diusaha segala daya
Mengadun ramuan untuk berjaya
Beserta kemahuan tak putus asa
Bertemulah Munira pintu bahagia.

Masa berlalu silih berganti
Fais dan Munira pasrah menanti
Tiadalah hajat sebelum mati
Selain bersua sahabat sejati.
Walau demikian hasratnya hati
Tiadalah dimungkir segala janji
Terserahlah kepada takdir Illahi
Bilakan bertemu tiadalah pasti.

Sering difikir terbayang-bayang
Kalaulah dapat bertemu pandang
Namun segera hati melarang
Kerana sumbang dipandang orang.

Siang dan malam silih berlalu
Fais dan Munira sudah bercucu
Tiadalah pernah mereka bertemu
Walau hanya sekejap waktu.

Demikian janji sudah terpaku
Harus dijaga tingkah dan laku
Walau berlabuh dendam dan rindu
Pendamkan sahaja di lubuk kalbu.

Kian hari meningkat umur
Fais dan Munira semakin uzur
Namun ingatan sikit tak luntur
Malah bertambah segar dan subur.

Sampai waktu tiba ketika
Tersebar khabar tentang petaka
Geringnya Munira tiadalah sangga
Melarat panjang tiada terduga.

Terpaksa Fais langgari janji
Menziarah Munira sudahlah mesti
Bukan berniat mungkiri janji
Cuma alasan sukar dicari.

Lalu bertemu Fais dan Munira
Di waktu petang menjelang senja
Wajah yang layu segar semula
Memandang sahabat lama tak jumpa.

Fais tersenyum hatinya girang
Bersua jua sahabat tersayang
Detik dan waktu lama berselang
Kehendak Tuhan tak dapat dihalang.

Tapi tak lama masa bersenggang
Terpaksa Fais berangkat pulang
Di dalam hati bimbang dan walang
Akan keadaan Munira yang malang.

Hanya doa penawar hati
Agar Munira sabar di hati
Mohon disembuhkan Rabbul 'Izzati
Segala penyakit yang dideritai.

Namun di suatu subuh yang sepi
Terjaga Fais dari mimpi
Seakan terlihat Munira di sisi
Terbujur kaku tiada bernadi.

Tatkala subuh sudah berlalu
Hati Fais semakin sayu
Seakan firasat memberitahu
Munira sudah pergi dahulu.

Benarlah segala firasat hati
Di siang hari segalanya pasti
Ketika azan bergema tadi
Munira dijemput mengadap Illahi.

Untuk Fais Munira tinggalkan
Sepucuk warkah tanda ingatan
Sambil jejari mengusap nesan
Faiz membaca warkah di tangan.

"Aduhai Fais sahabat karibku
Entah mengapa hatiku sayu
Seakan terdengar bisikan bayu
Kita tak dapat lagi bertemu".

"Tersangatlah berat sakitku ini
Tiadalah dapat tuan berkongsi
Semoga semangatku tidakkan mati
Sebelum denyut nadi berhenti".

"Andainya tiba saat berangkat
Terpaksa kupergi duhai sahabat
Namun di hati teguh terpahat
Tuanlah sahabat dunia akhirat".

"Jaga dirimu usahlah cuai
Keluarga tercinta jangan diabai
Agama itu benteng perisai
Masa menghukum orang yang lalai".

"Aduhai sahabat teman sejati
Tinggallah tuan junjungan hati
Teruskan hidup kuatkan hati
Agar tertunai impian di hati".

"Sampai di sini kumohon diri
Terimalah kasihku setulus hati
Ampun dan maaf kususun jari
Halalkan segala yang telah diberi".

Sebak di dada tiada terkira
Menatap warkah tinggalan Munira
Hanya doa penawar lara
Semoga Munira aman sejahtera.

Sudah berakhir sebuah hikayat
Kisah teladan dua sahabat
Teguh berpegang kepada adat
Adat bersendi hukum akhirat.

Demikian harus jadi teladan
Sahabat dan cinta seiring jalan
Asal pandai membawa badan
Tidak menurut nafsu dan syaitan.

No comments:

Post a Comment

Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com