Saturday, August 29, 2009

Nasib Samudera

Gulai cendawan bersama lokan
Ulam di hutan buat rebusan
Hatiku rawan terkenang ikan
Dalam lautan masih kehausan.

Usah dihairan enak manisan
Kerana manisan lebah tergoda
Usah dihairan ikan kehausan
Kerana lautan sudah ternoda.

Puspa hiasan puteri biduanda
Tertawan putera kerana parasnya
Angkara insan lautan ternoda
Mencemar samudera tiada batasnya.

Rendang mengkudu cabang-cabangan
Pohon cemumar tumbuh kesasar
Melempar batu sembunyi tangan
Membuat cemar tak rasa gusar.

Kasihan sibayan terluka kaki
Hinggap di dahan tidur tak nyenyak
Kasihan nelayan mencari rezeki
Mengharung lautan beradun minyak.

Ranting bertaut pulai di rimba
Tempat berlari siburung rawa
Karangan laut merintih hiba
Kemana diri hendak dibawa.

Sulam hiasan tikar jerami

Jangan sulami sampai ke tepi
Sedarlah insan khalifah bumi
Jangan zalimi lautan yang sepi.

No comments:

Post a Comment

Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com