Sekapur sireh pemanis kata
Seulas pinang penyambung adat
Dang Sireh hanya menyusun kata
Sekadar mengenang makna makrifat.
Bunga karangan gubahan puteri
Sireh selembar buat santapan
Layar kenangan cerminan diri
Buat ikhtibar masa hadapan.
Mawar berduri bunga larangan
Mekar berputik di tengah laman
Saya mencari kotak kenangan
Hilang di balik lipatan zaman.
Pohon turi celah kelisa
Tumbuh sebaris pohon petola
Senang mencari teman ketawa
Teman menangis payah nak jumpa.
Pohon cempedak tiada bertuan
Akar dedalu melilit anggerik
Jika terlajak silap haluan
Usah malu berpatah balik.
Di sini darahnya tumpah
Mengalir di bumi bertuah
Gugur menebus maruah
Rebah dikandung tanah.
Wira pergi mengukir jasa
Petualang sudah hilang bisa
Watan yang tinggal menumpang suka
Rakyat bersorak laungan 'Merdeka'.
Tapi.....merdekakah kita?
Dengan budaya separuh hamba
Dipasung hati dirantai jiwa
Masih merindui corak lama.
Berbangga kuasai bicara
Dengan bahasa cemar susila
Berbusana gila-gila
Santun dilempar entah ke mana.
Berlenggang ala primadona barat
Senyum menggoda mempamir pusat
Bertudung bukan menutup aurat
Sekadar menurut hati yang berat.
Berbaju seperti tidak
Berlangir menunjuk segak
Lelaki sudah hilang tanjak
Perempuan boleh dipajak-pajak.
Lirik lagu dihafal mudah
Kalimah Allah sebaris payah
Tidak terasa langsung bersalah
Bibir mahal mengucap maaf.
Ilmu manafaat tiada dicari
Asyik mengejar seronok duniawi
Orang luar masuk bagai pencuri
Anak watan duduk menghitung rugi.
Kasihan anak merdeka
Kemajuan teknologi disalahguna
Bukan menjadi sanggar pustaka
Tapi tempat bercumbu mesra.
Aduhai......di manakah maruah
Sebagai hamba Allah
Mengucup syukur mendakap tuah
Lahir di bawah langit yang cerah.
Janganlah terlalu gembira
Melaung merdeka sekali-sekala
Awas mengkala Allah murka
Direntap merdeka hilang segala.
Kuingati diriku juga teman
Sedang riang menghidu haruman
Kembang merdeka di tengah laman
Entahkan kekal sepanjang zaman.
Marilah kita mengukir cinta
Memahat teguh janji perwira
Walau jasad tumbang, melayang nyawa
Kuntum merdeka mekar di jiwa.
Melewati senja kabut Tingkah-meningkah gerak hati Menyanggahi akal budi Menyeru angin ribut Menangkal hujan batu Minta padamkan andang cinta itu. Namun sia-sia Andang kian tangkas Marak menjulang Membakar langit sukma Tempias percik berserakan Menggegar laman nurani. Lalu terpahat tinta suci Antara dua hati Di hamparan janji Tulus dan abadi. Semaraklah andang cinta Bersemi dalam diri Biru nian nyalaan Membakar semangat Memburu cita-cita murni. Bersama ikat janji pada diri Walau tersandung karang lara Tetap bingkas tak mudah tumpas Gagah mengharung lautan pesona Biar matinya nanti di daratan jua.
Sebermula kisah seorang puteri
Siti Munira nama diberi
Tinggal di pinggir sebuah negeri
Sahabat karib Fais Zahari.
Asal kisah dua sahabat
Dari kecil sangatlah rapat
Sepakat bermain tidak mengelat
Sama merasa manis dan kelat.
Masa berlalu silih berganti
Mekarlah kuntum di taman sari
Di dalam diam Fais bermimpi
Menyunting Munira sebagai isteri.
Sedang di kalbu cinta berputik
Kepada Munira hatinya asyik
Datanglah berita sudah terbetik
Siti Munira sedang dirisik.
Akan Munira tiadalah suka
Menerima lamaran Putera Bukhara
Tasik hatinya berladung bara
Menyimpan dendam rindu yang lara.
Sampailah hati sahabat bistari
Tiada menjenguk walau sehari
Demikian rajuk hati puteri
Akan tingkah Faiz Zahari.
Adapun Fais tersangat durja
Dari pagi bawa ke senja
Siti Munira bunga dipuja
Kini disunting sang putera raja.
Arakian dikumpul segala kekuatan
Pada Munira dipersembahkan
Segunung cinta, kasih selautan
Selama ini karam di dasaran.
Lalu dikirim warkah utusan
Ingin bertemu Munira pujaan
Tiadalah lain niat sisipan
Sekadar meluahkan impian terkilan.
Tepat waktu yang dijanjikan
Bertemulah pandang dua insan
Walau rindu saling bertautan
Namun tingkah ada batasan.
"Aduhai Fais Zahari sahabatku
Sampai hati demikian laku
Pada Munira hatimu beku
Tiadakah belas akan nasibku?".
Sayu di hati Faiz Zahari
Mendengar demikian Munira berperi
Bukanlah maksud kemahuan diri
Mahu menyeksa hati puteri.
Lalu Fais menyusun madah
Memujuk Munira bukanlah mudah
Silap dirinya lewat mengubah
Bunga idaman dipetik sudah.
"Usahlah Munira tersilap duga
Kasihku padamu tiadalah harga
Sanggup kukorban jiwa dan raga
Di sanubariku, tuanlah syurga".
"Aduhai Munira dengarlah sayang
Perasaan kasih bukan kepalang
Berpisah jasad nyawa melayang
Ikatan kasih tak akan goyang".
"Tiadalah manis kita melatah
Memungkiri janji hidup tak betah
Patuhlah kehendak ibu dan ayah
Kelak itulah membawa tuah".
"Ingatlah tuan ungkapan madah
Berkerat rotan tentulah patah
Bercerai kasih tiada penyudah
Jika demikian ketentuan Allah".
Akan Munira ketahuilah sudah
Cintanya tiada bertepuk sebelah
Andai terawal menyusun langkah
Tentu bahagia kini menyerlah.
Hiba dan pilu menginjak diri
Menghitung hari kian berlari
Walau perit tertusuk duri
Harus diusaha mengubat diri.
Usah dikesal kasih tak sudah
Andai demikian takdirnya kisah
Walau jauh jarak berpisah
Namun ingatan tak mudah goyah.
Sebelum berpisah janji dipasung
Tidak bertemu atau berkunjung
Adat ditatang agama dijunjung
Demi cinta suci terulung.
Masa akan mengubat pilu
Sabar itu penawar rindu
Jika tersandung jodoh bertemu
Walau dielak pasti berlaku.
Syahadan tinggallah Munira sendiri
Menunggu masa menanti hari
Dibawa pergi putera jauhari
Ke istana indah hujung negeri.
Tinggallah Munira dalam mahligai
Menjeruk duka hatinya relai
Kenangkan Fais janji termeterai
Doa dipanjat hajatkan sampai.
Demikian jua Fais Zahari
Sentiasa terkenangkan kekasih hati
Duduk berdoa ke hadrat Illahi
Semoga Munira tabahkan hati.
Setelah tahun berganti tahun
Akhirnya Fais bertemu calon
Puteri desa sopan dan santun
Penyejuk hati bagaikan embun.
Akan Munira tiadalah pasti
Bahagia itu apakah erti
Zahir tersenyum tidak di hati
Hidup terasa bagaikan mati.
Tiadalah hajat tiadalah harap
Umpama terbang tiada bersayap
Bangunlah Munira di dalam gelap
Mencari sinar cahaya yang malap.
Lalu diusaha segala daya
Mengadun ramuan untuk berjaya
Beserta kemahuan tak putus asa
Bertemulah Munira pintu bahagia.
Masa berlalu silih berganti
Fais dan Munira pasrah menanti
Tiadalah hajat sebelum mati
Selain bersua sahabat sejati.Walau demikian hasratnya hati
Tiadalah dimungkir segala janji
Terserahlah kepada takdir Illahi
Bilakan bertemu tiadalah pasti.
Sering difikir terbayang-bayang
Kalaulah dapat bertemu pandang
Namun segera hati melarang
Kerana sumbang dipandang orang.
Siang dan malam silih berlalu
Fais dan Munira sudah bercucu
Tiadalah pernah mereka bertemu
Walau hanya sekejap waktu.
Demikian janji sudah terpaku
Harus dijaga tingkah dan laku
Walau berlabuh dendam dan rindu
Pendamkan sahaja di lubuk kalbu.
Kian hari meningkat umur
Fais dan Munira semakin uzur
Namun ingatan sikit tak luntur
Malah bertambah segar dan subur.
Sampai waktu tiba ketika
Tersebar khabar tentang petaka
Geringnya Munira tiadalah sangga
Melarat panjang tiada terduga.
Terpaksa Fais langgari janji
Menziarah Munira sudahlah mesti
Bukan berniat mungkiri janji
Cuma alasan sukar dicari.
Lalu bertemu Fais dan Munira
Di waktu petang menjelang senja
Wajah yang layu segar semula
Memandang sahabat lama tak jumpa.
Fais tersenyum hatinya girang
Bersua jua sahabat tersayang
Detik dan waktu lama berselang
Kehendak Tuhan tak dapat dihalang.
Tapi tak lama masa bersenggang
Terpaksa Fais berangkat pulang
Di dalam hati bimbang dan walang
Akan keadaan Munira yang malang.
Hanya doa penawar hati
Agar Munira sabar di hati
Mohon disembuhkan Rabbul 'Izzati
Segala penyakit yang dideritai.
Namun di suatu subuh yang sepi
Terjaga Fais dari mimpi
Seakan terlihat Munira di sisi
Terbujur kaku tiada bernadi.
Tatkala subuh sudah berlalu
Hati Fais semakin sayu
Seakan firasat memberitahu
Munira sudah pergi dahulu.
Benarlah segala firasat hati
Di siang hari segalanya pasti
Ketika azan bergema tadi
Munira dijemput mengadap Illahi.
Untuk Fais Munira tinggalkan
Sepucuk warkah tanda ingatan
Sambil jejari mengusap nesan
Faiz membaca warkah di tangan.
"Aduhai Fais sahabat karibku
Entah mengapa hatiku sayu
Seakan terdengar bisikan bayu
Kita tak dapat lagi bertemu".
"Tersangatlah berat sakitku ini
Tiadalah dapat tuan berkongsi
Semoga semangatku tidakkan mati
Sebelum denyut nadi berhenti".
"Andainya tiba saat berangkat
Terpaksa kupergi duhai sahabat
Namun di hati teguh terpahat
Tuanlah sahabat dunia akhirat".
"Jaga dirimu usahlah cuai
Keluarga tercinta jangan diabai
Agama itu benteng perisai
Masa menghukum orang yang lalai".
"Aduhai sahabat teman sejati
Tinggallah tuan junjungan hati
Teruskan hidup kuatkan hati
Agar tertunai impian di hati".
"Sampai di sini kumohon diri
Terimalah kasihku setulus hati
Ampun dan maaf kususun jari
Halalkan segala yang telah diberi".
Sebak di dada tiada terkira
Menatap warkah tinggalan Munira
Hanya doa penawar lara
Semoga Munira aman sejahtera.
Sudah berakhir sebuah hikayat
Kisah teladan dua sahabat
Teguh berpegang kepada adat
Adat bersendi hukum akhirat.
Demikian harus jadi teladan
Sahabat dan cinta seiring jalan
Asal pandai membawa badan
Tidak menurut nafsu dan syaitan.
Gulai cendawan bersama lokan Ulam di hutan buat rebusan Hatiku rawan terkenang ikan Dalam lautan masih kehausan. Usah dihairan enak manisan Kerana manisan lebah tergoda Usah dihairan ikan kehausan Kerana lautan sudah ternoda. Puspa hiasan puteri biduanda Tertawan putera kerana parasnya Angkara insan lautan ternoda Mencemar samudera tiada batasnya. Rendang mengkudu cabang-cabangan Pohon cemumar tumbuh kesasar Melempar batu sembunyi tangan Membuat cemar tak rasa gusar. Kasihan sibayan terluka kaki Hinggap di dahan tidur tak nyenyak Kasihan nelayan mencari rezeki Mengharung lautan beradun minyak. Ranting bertaut pulai di rimba Tempat berlari siburung rawa Karangan laut merintih hiba Kemana diri hendak dibawa.
Sulam hiasan tikar jerami Jangan sulami sampai ke tepi Sedarlah insan khalifah bumi Jangan zalimi lautan yang sepi.
Pernah kudengar sebuah kiasan Sireh berpeluh di dalam puan Menunggu pinang tiada keruan Kemarau kapur selerak impian. Sireh layu menanti relai Merisik pinang mabuk di tangkai Merajuk sireh kasih tak sampai Pinang tergamak untuk bercerai. Terkenanglah sireh akan sigagang Menagih kasih yang telah dibuang Mengharap gagang masih memandang Sudi menghulur setitis sayang. Begitu luhur kasih sigagang Tiada beralih cinta dan sayang Sedia terima sireh yang curang Walau disorak rakan sejulang. Kembali bertaut memadu janji Tidak berpisah sampai ke mati Direnjis hujan dan embun pagi Bersama menagih sinar mentari. Demikian hikayat pernah dikarang Kisah sireh pulang ke gagang Buat teladan orang sekarang Agar tidak melangkah sumbang.
Malam....... Indah nian warnamu Yang terzahir adalah suram Dalam terang yang terhijab Hening-bening dan syahdu bertaut Dan malam pun berdikir..... Mengulit hati yang asyik. Di luar jendela Purnama berkaca Seakan berhias manik perada Di penjuru langit letak kejora Kerdipan dan kilauan Menikam mata Menawan sukma dengan pesona.
Sedang bunga-bungaan di laman Berjuntaian di julai Lalu pawana menerpa Menyapa puspa jelita Seraya menghantar haruman Ke puncak gunung Merentas lautan saujana. Bermandikan cahaya bulan Seiring desiran semilir Terusap wajah ayu Mengelus lembut hati nan gundah Sekuntum bunga kelayuan Nanar dan pilu Sedang menimbang akal budi Celaru dan keliru. Semalam pun berlalu Terbiar menangis hiba Dalam gerimis duka Menyaksikan syahdunya terusik Indahnya ternoda. Dalam samar cahaya Ada insan hilang pedoman Terungkai simpulan iman Gugur titis noda Mencemar bumi Tuhan. Demikian citra satu malam Nikmat yang datang Kemudian sirna dan muncul lagi Tanpa dihargai Kerana tiada akad jual-beli. Rajuknya tiada yang peduli Lantaran yang menikmatinya Sudah buta dan tuli Mati akal dan hati Untuk mengucap syukur
Pada yang menjadikan alam
Dan malam yang hening sepi
Penuh nikmat dan hikmat.
Di malam aku berteman sepi Telah kusingkap jendela hati Mencari diri mengenal Illahi Ke mana akhirnya aku kembali. Dalam samar bayangan mimpi Kulihat masa pantas berlari Tapi diriku masih di sini Menghitung bilang kerut di dahi. Resah jiwa tersayat pilu Hati kusut fikiran buntuHarus ke mana diri mengadu Kalaulah tidak pada yang Satu. Lalu kuhampiri naskhah biru Di atas rak mengumpul debu Titis airmata tumpah di situ Sejambak kesal meruntun kalbu. Dalam wuduk yang masih basah Seiring sendu yang tak sudah Kutatap kubaca kalimah Allah Hingga selesai satu basmalah. Sekian lama aku berperang Menentang nafsu bukanlah senang Syaitan tak rela kubiar menang Menyesatkan aku di dalam terang. Setiap waktu aku berusaha Tanpa mengenal putus asa Sehingga kutemui titik cahaya Menyuluh terang jalan ke syurga. Wahai Tuhan Rabbul I'zzati Doa kupanjat setiap hari Usah Kau biar hatiku mati Sebelum kupasti redha Illahi. Tika detik ajalku sampai Ingin kupulang dengan damai Semoga diriku tidak terlalai SuruhanMu Tuhan tidak terabai.
Pohon selasih tumbuh merata Menjalar hingga ke pangkal jati Cinta kekasih menikam mata Menusuk hingga ke tangkai hati. Berarak mega di kala senja Mendakap sepi pandangan mata Sukma dahaga kasih dan manja Mengharap mimpi menjadi nyata. Sireh di puan gubahan hati Letak setalam di tengah jalan Kasihku tuan bersungguh hati Ibarat malam sayangkan bulan.
Silaulah sungguh pandangan mata Batu kayangan tiada tandingnya Benarlah sungguh bagai dikata Rindu bayangan tiada ubatnya. Cenderawasih terbang berempat Hinggap kedidi di tengah laman Dirantai kasih dipasung adat Cinta terkunci di dalam iman. Umpama berjalan di tengah rembang Resah badan terasa letih Umpama bulan sedang mengambang Indah nian hati yang kasih. Terbang merpati menyapa bayu Bayu membawa hujan gerimis Semarak hati di dakap sayu Sayu mengingati kenangan manis.
Rimbun daun pohon senduduk Tumbuh angsana dari keratan Rindu beralun di hati sang pungguk Bulan gerhana tiada kelihatan. Langit berlangir pelangi sutera Awan berlindung cahaya suram Indahnya zahir menutup lara Batin berladung rindu dan dendam. Semilir bayu menyapa alam Alam berdebu tiada berandam Kekasih dirindu berkirim salam Cairlah rindu hilanglah dendam. Pantun seloka gurindam kasih Sayup bergema di tengah malam Rindu membawa pesona kasih Mendera sukma di dalam diam. Anggur segugus hidang beradab Hidang sedulang dengan delima Rindu yang kudus bersendi adab Adab bertunjang hukum agama.
Berpuput bayu mencelah awan Lembut menyapa puspa menawan Seraya bertanya khabarnya kawan Mengetuk pintu hati nan rawan. Berkelip bintang di langit kelam Sinaran bulan menyuluh alam Sambil berbisik kepada malam Hati yang rawan bukan pualam. Bersyairlah hati berlagu syahdu Perihal segala kenangan lalu Menjeruk lara menahan sendu Betapa bahagia sangat dirindu. Berselerak hati hancur berderai Punah berkecai di balik tirai Mutiara berkaca luruh ke lantai Menjadi kesumat payah terlerai. Berladung duka sepanjang masa Menangisi nasib jiwa tersiksa Tasik hatinya punah binasa Lantaran asyik memendam rasa. Bersilih ganti menjejak pawang Habislah harta sertanya wang Segala sarap sudah digawang Namun hati masih bersawang.
Bukanlah pawang empunya kuasa Mengubati hati luka tersiksa Berserahlah pada Tuhan yang Esa PadaNya ada penawar bisa. Beserta ihsan Tuhan Ar-Rahman DigilapNya sebutir mutiara iman Duduk bertakhta sebagai teman Segera yang kalut menjadi aman. Berseri wajah senyum melirik Semangatnya pulih bahagia berputik Dalam ketawa sukma berbisik Jangan dialpa budi setitik. Bersorak alam turut gembira Hati yang rawan sudah ceria Di luar jendela bulan berkaca Menyapa malam dengan manja.
Bukan sekali orang berkisah
Perihal Jebat dan juga Tuah
Sahabat karib masyhurlah sudah
Terpisah jua angkara fitnah.
Tiada disangka tiada terduga
Titah Sultan punya angkara
Kurang siasat duduk perkara
Tuah dihukum tanpa bicara.
Di hati Bendahara sungguh terkilan
Umpan di air ikan tak makan
Puas difikir bermacam jalan
Melepaskan Tuah dari hukuman.
Lalu diulang memberi nasihat
Agar Sultan teliti siasat
Punca angkara Tuah terjerat
Hingga demikian hukuman berat.
Namun sia-sia segala usaha
Kerana dalangnya Karma Wijaya
Menghasut Sultan melacur kuasa
Membuang Tuah dengan segera.
Sebelum Tuah dihukum buang
Sempat ia berpesan bilang
Pada Jebat sahabat tersayang
Suatu amanat untuk dipandang.
"Adikku Jebat dengarlah peri
Berbuat baik tiadalah rugi
Asal berpada tak buta-tuli
Namun jahat usah sekali".
Dengan renungan matanya tepat
Jebat menyahut penuh muslihat
Entah apa makna tersirat
Di hati Tuah bimbang bersarat.
"Abangku Tuah, usahlah bimbang
Berbuat baik tetap kujuang
Namun jika tersandung sumbang
Jahatku juga bukan kepalang".
Akan SiTuah diamnya tabah
Sedia mati menjunjung titah
Walau diri tiada bersalah
Namun setianya tiada berbelah.
Tapi diam Jebat umpama barah
Menunggu masa meledak pecah
Tiada dihirau pesan Tun Tuah
Padah dan tulah sudah ditelah.
Retak bagai menanti belah
Sembah derhaka kian terserlah
Jebat mengamuk menyanggah titah
Membela Tuah menebus maruah.
Dalam amarah Jebat bersumpah
Akan ditagih hutangnya darah
Biar mati bergalang tanah
Dari bertuan raja yang lemah.
Khabar tersebar seluruh Melaka
Jebat dianggap hamba derhaka
Hingga Sultan terlalu murka
Jebat tak boleh diberi muka.
Namun di hati Sultan yang buta
Sudah bernanah kudis dan kusta
Menghukum Tuah membabi-buta
Kesal tak sudah tiada terkata.
Barulah Sultan sedarkan diri
Hati yang rabun cerah kembali
Barulah kenal kaca baiduri
Air ludahan dijilat kembali.
Adapun SiTuah tiadalah mati
Hanya disimpan di hujung negeri
Oleh Bendahara yang baik budi
Dengan helah muslihat bistari.
Demi kepentingan negeri dan diri
Sanggup Sultan mencemar duli
Menjemput Tuah balik ke sisi
Membuang daging yang penuh duri.
Tiada tergamak di hati Tuah
Membuang sahabat begitu mudah
Tapi demi sebuah titah
Tuah sedia bermandi darah.
Kalau diturut hati nan berat
Tiadalah sanggup menentang sahabat
Sementelah pula keris keramat
Sudah berpindah ke tangan Jebat.
Lalu Tuah mencari helah
Merebut kembali keris bertuah
Dipujuk Jebat mengaku kalah
Agar tiada darah yang tumpah.
Namun Jebat pantang menyerah
Sekali perahu sudah ke tengah
Biarpun dayung bermandi darah
Tetap digagah menongkah arah.
Tapi sudah kehendak Tuhan
Jebat tak dapat lagi bertahan
Dengan tipu helah pahlawan
Keris kembali kepada tuan.
Demikian bisa keris pusaka
Taming Sari empunya petaka
Sekali tertusuk badan celaka
Tewaslah Jebat konon derhaka.
Dalam derhaka Jebat bertakhta
Di hati rakyat yang belum buta
Barulah tahu duduk perkara
Setelah Jebat hilang di mata.
Pernah sekali Jebat berperi
Derhakaku ini tiadalah rugi
Di suatu masa di kemudian hari
Namaku akan dijulang tinggi.
Adapun Tuah tiadalah pasti
Sesal berbaur pilu di hati
Benarkah demikian takdir Illahi
Atau silap perhitungan diri.
Akan SiJebat tiadalah ragu
Sungguh bertuah punya Dang Baru
Isteri mulia tempat mengadu
Wangi busuk sama dihidu.
Tinggalan Jebat baranglah tentu
Anakanda putera itulah satu
Diasuh diajar Tun Tuah selalu
Menurut amanat Jebat dahulu.
Begitu bertuah diri Tun Jebat
Dalam malang tuah bertempat
Punya isteri dan juga zuriat
Zahir jasanya hanya tersirat.
Tuah ayam nampak di kaki
Tuah insan sukar kenali
Demikian tersurat dari azali
Segala rahsia kemudian hari.
Tibalah masa tuah mendatang
Nama Jebat kini ditatang
Konon dialah wira gemilang
Membetul langkah Sultan yang sumbang.
Demikian sejarah ulang-berulang
Masih berlaku zaman sekarang
Hanya berbeza watak dan sarang
Berlainan cara keris bersilang.
Bukan memuji derhaka Jebat
Cuma menghayati sirah tersurat
Buat sempadan umat sejagat
Agar tidak melatah siasat.
Perlu ditegur jejak Tun Jebat
Mengamuk membunuh ikut firasat
Firasat bertunjang petunjuk sesat
Sesat dihasut syaitan keparat.
Demikian jua dengan Tun Tuah
Berbuat bakti tiada kisah
Silap khilaf diambil mudah
Asal titah tidak disanggah. Namun demikian jarang berlaku
Orang melihat dengan ilmu
Hanya menjeling sekali lalu
Terus menafsir dengan melulu.
Alangkah sedih bercampur hiba
Manusia alpa dirinya hamba
Nafsu diikat tamak haloba
Menunggu kuasa jatuh ke riba.
Demikian terjadi di hari ini
Sejarah berulang silih berganti
Ampu di sana kipas di sini
Fitnah ditabur ke sana ke mari.
Kalaulah Jebat masih ada
Apakah akan disanggah juga
Perintah gila hukum rimba
Bertuhankan kuasa harta-benda.
Atau SiJebat akan turut serta
Menjadi pak turut semata-mata
Walau salah tampak di mata
Di hati berpura tuli dan buta.
Hingga mahkamah menjadi mangsa
Tempat berlindung orang berkuasa
Bukan lagi neraca menimbang rasa
Adil membela rakyat biasa.
Pernah dahulu Tuah berkata
Takkan Melayu hilang di dunia
Setelah melihat setelus mata
Tepuklah dada tanya selera.
Benar seperti telahan Jebat
Hidup harus bersendi adat
Tetapi jika adat sudah diperalat
Apa lagi diharap kepada adat.
Sepatah kata Jebat bermadah
Sangat tersohor dalam sejarah
Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah.
Sampai di sini titik berhenti
Sedikit riwayat tokoh jauhari
Sekadar renungan hati ke hati
Buat teladan anak bistari.
Wallahhua'lam.....
Telah kuhayati unggulnya mentari Memancar cahaya tak pernah rugi Dapat purnama menumpang seri Seluruh alam terhutang budi.
Demikian jua sinar purnama Sedang tersenyum di awan sana Fajar tiba ia pun sirna Esok malam muncul semula. Lain pula halnya lilin sebatang Mencurah bakti bukan kepalang Namun akhirnya ia kecundang Luluh terbakar cair di dulang. Begitu istimewa ciptaan Tuhan Tiada tandingan rekaan insan Haruslah menjadi suri teladan Jangan insan lupa daratan. Sering kulihat embun menitis Menyegar tanaman paku-pakis Walau turun hujan gerimis Embun istiqamah tetap menitis. Begitu seharusnya adat berkasih Senantiasa jujur tiada beralih Terus mencurah cinta yang bersih Setiap masa mengalir kasih. Sudah terbukti sejak azali Kejadian samudera anugerah Illahi Ditimba tak luak makin berisi Malahan punca segala rezeki. Begitu pemurah sifat lautan Sentiasa memberi tak minta balasan Cuma insan yang kurang sopan Tidak bersyukur kepada Tuhan. Mentari, bulan, embun, samudera Adalah antara nikmat karunia Pandailah kita menghargainya Sementara hidup di alam fana.
(Puisi ini kutulis buat mengenang almarhum bonda tersayang) Setangkai kembang cina Mekar di laman singgahan bonda Kelopak putih harum Membelai sukma Menggamit rindu di mata. Dalam igauan mimpi asyik Terlihat bunga itu bonda petik Dari helaian kelopak cantik Gugur ke bumi embun setitik. Sekelip mata sirna pandang Hangat pelukan belum hilang Lembah rindu masih gersang Bonda ghaib hilang bayang. Di bawah sedar lena yang panjang Mendakap bayang bonda sayang Masih terhidu wangian bunga Konon hadiah dari bonda. Aduhai sijelita kembang cina Temanilah bondaku kesuma jiwa Dalam redup rimbun kasih Bersama ihsan dedaunan zikir Dan kuntuman doa Ku bingkiskan AlFatihah Menjadi hamparan tulus suci Mohon keampunan buat bonda Aman sejahteralah hendaknya Persinggahanmu di sana......Amin.
Menjelang fajar turun ke sawah Parang diasah memangkas turi Jangan diajar anak bermewah Kelak susah membawa diri. Parang diasah memangkas turi Turi rebah di tanah gambut Kelak susah membawa diri Bila patah ranting berpaut. Turi rebah di tanah gambut Ketika hari menjelang petang Bila patah ranting berpaut Ke mana diri hendak menumpang.
Ketika hari menjelang petang Dara bertiga memetik lada Ke mana diri hendak menumpang Ilmu pula kurang di dada. Dara bertiga memetik lada Lada diborong untuk berniaga Ilmu pula kurang di dada Agama langsung tidak dijaga. Lada diborong untuk berniaga Bawa jualan ke Pasar Bayu Agama langsung tidak dijaga Mudahlah syaitan memujuk rayu. Bawa jualan ke Pasar Bayu Pasar Bayu di Tanjung Sena Mudahlah syaitan memujuk rayu Hingga Melayu dipandang hina. Pasar Bayu di Tanjung Sena Tempat tumpuan dagang santeri Hingga Melayu dipandang hina Merempat tuan di bumi sendiri. Tempat tumpuan dagang santeri Mencari rezeki pagi dan petang Merempat tuan di bumi sendiri Menjadi abdi pada pendatang. Mencari rezeki pagi dan petang Melimpah-ruah pulut jejawi Menjadi abdi pada pendatang Tergadai maruah ibu pertiwi. Melimpah-ruah pulut jejawi Antah bersisa habuan serama Tergadai maruah ibu pertiwi Hilang bangsa runtuh agama. Antah bersisa habuan serama Hinggap kedidi menumpang suka Hilang bangsa runtuh agama Patah kemudi bahtera merdeka. Hinggap kedidi menumpang suka Celah rumpun kayu ara Patah kemudi bahtera merdeka Lenyap tamaddun sebuah negara. Celah rumpun kayu ara Bawah redup laman rimba Lenyap tamaddun sebuah negara Seumur hidup menanggung reba.
Secalit tinta seuntai kata Puisi dikarang tanda mata Biar jauh pandangan mata Semarak kasih didakap cinta. Secalit tinta seuntai kata Penyair berhemah menyusun kata Dalamnya kias mencelik mata Cairlah hati sekeras bata. Secalit tinta seuntai kata Senandung kasih mengulit mata Tidurlah sayang cahaya mata Di hati bonda dikau bertakhta. Secalit tinta seuntai kata Boleh meroboh sebuah kota Mungkinkah hanya fitnah semata Benar atau salah belumlah nyata. Secalit tinta seuntai kata Bisa mengalir siairmata Diri diumpat kata nista Hina bagai haiwan melata.
Secalit tinta seuntai kata Tiada bandingan sudahlah nyata Kitab AlQuran penyejuk mata Penenang jiwa ummah semesta. Secalit tinta seuntai kata Dapat diolah menjadi cerita Dalam cerita ada derita Derita itulah lampu pelita. Secalit tinta seuntai kata Madah pujangga bagai permata Usah dipandang sebelah mata Biarpun hanya sebaris kata. Demikian hebat secalit tinta Hingga terungkap seuntai kata Tapi awas bermain kata Jangan kata menjadi nista.
Aduhai teman dengarkan ini Pesanan dari hati nurani Lumrahnya hidup di dunia ini Sekilas pandang indah dan murni.
Langit tidak selalunya cerah Awan kelabu kadang mencelah Teratai sendiri lemas dan lelah Di lautan manis madah berhelah.
Tatkala senang ramailah kawan Tumbuh bagaikan hutan cendawan Seronok dipuji kaya rupawan Hingga alpa kawan dan lawan. Tapi malang tiada diduga Sekelip mata hilang tetangga Hancur luluh jiwa dan raga Umpama jatuh ditimpa tangga.
Bukan sahabat demikian laku Tapi kawan bersifat hantu Di bibir memuji semanis madu Di hati terpahat rasa cemburu.
Demikian laku kerap terjadi Perihal kawan buruk peribadi Harapkan pagar menjaga padi Rupanya pagar memakan padi. Bila dah susah barulah pandai Membanding sutera dengan cindai Barulah kenal permata di gandai Mana kawan sahabat handai. Sukar dicari sebenar sahabat Dalam marah terselit nasihat Dalam nasihat kasih tersirat Aib sahabat ditutup rapat. Tiada meminta wang dan emas Tidak mengharap jasa dibalas Menabur budi jujur dan ikhlas Susah dan senang sama digalas.
Betapa murni sekujur hati Kasih dibawa hingga ke mati Wangian kasturi kuntum melati Harum pusara sahabat sejati.
Akhirul kalam titik berhenti Pesan teratai setulus hati Agar teman berhati-hati Memilih antara geti dan jati.
Airmata terkumpul di hati
Mengalir menjadi sungai
Menyusup celahan kerikil permata
Menerjuni jeram batu berkaca
Yang bersih putih berkilau
Membasuh dosa-dosa lampau
Bertolongan arus lintang
Mengirimnya ke muara hening bening.
Lalu ia berseru Ya Tuhan! Sesungguhnya aku inilah saksi bisu
Yang menyaksikan ketabahan hati hambaMu itu
Menangani ujian pahit getirMu
Mensyukuri kurnia nikmatMu
Dengan ihsanMu Ya Rabbi
Engkau ampunilah dosanya.
Pada yang lupa...
mungkin kembali sejarah tersisa
Bagai lampu taman di pagi gerimis
Awal mula berkasih sayang......
Bunga telipukku segar mekar
Bermain hujan bermandi suria
Ditatang debu
Diusap bayu
Di air tenang berolak beralun.
Setelah sedang bercanda riang.....
Bunga telipukku pudar nanar
Bersiram racun dalam senyum
Diulit rindu
Dicengkam sayu
Di lopak hening ia berembun.
Akhirnya sudah berlabuh malang.....
Bunga telipukku sirna sasar
Berjudi nasib alang kepalang
Dimain getu
Disindir latu
Di tapak tangan mati beragan.
Aku tak ingin siteratai
Tewas seperti telipukku
Puspa di taman hati ibu
Belum tua sudah kecundang
Kerana terlanggar pantang-larang
Antan tak boleh bertemu lesung Andai padi bunting ada bersama.
Di hari ia melahirkan cintanya
Ia berkata kepada kekasihnya
"Kita tidak usah berjanji untuk setia
Kerana kita tidak mahu setia kerana janji
kita akan setia kerana cinta
hanya kerana cinta..."
Di hari perkahwinannya
Ia berkata kepada isterinya
"Perkahwinan ini adalah ikatan
tapi kita tidak usah terikat kerananya
kita terikat kerana cinta
hanya kerana cinta..."
Di hari-hari kemudiannya
Ia berkata kepada dirinya
"Perkahwinan kadang-kadang
mengajar kita melupakan cinta
untuk belajar hidup bersama."
Kau mungkin bukan lelaki terbaik
Tapi buat perempuan sepertiku
Mungkin tidak ada yang lebih
Darimu
Aku mungkin tidak mendapat segala-galanya
Tapi dengan keadaan begini
Aku tidak meminta
Yang lebih baik.
Usahlah bertanya apakah aku bahagia
Aku juga tidak menyoal perasaanmu
Kerana kadang-kadang bila terlalu mahu memasti
Orang jadi semakin ragu
Terlalu berbicara dan banyak menganalisa
Orang jadi semakin tidak tahu.
Aku mungkin kurang pasti
Tentang apa yang telah kukatakan
Tapi yang pasti
Kita tidak perlu terlalu pasti...
Her birthday date
Never fail to be in my diary
I think it's fate
That I never forget to record it down annually.
We used to be so close
Sharing secrets and gossips
And of course not forgetting boys
Laughing at each other when the one slipped.
It all ends
When we went to different schools
Both were busy with their new friends
And how to look and act cool.
As time flew by
We soon run out of things to say
Though we do meet each other once in a while
But each has to go in a different way.
We changed ever so differently
From whom we used to be
I don't know her anymore
Neither she of me
Thus our great friendship
Just vanished
No more sharing of secrets or gossips
Just a close book of forgotten friends.
Bertaburan bintang ciptaan Tuhan
Berkerdipan menguntum senyuman
Pada kesuma di pinggir kayangan
Salam kasih ia titipkan.
Berkaca rembulan di awan
Berkilauan memukau pandangan
Pada kesuma ia berpesan
Janganlah tuan lupa daratan.
Berpuput bayu pawana
Bertebaran haruman cendana
Pada kesuma sedang bersuka
Ingatlah tuan dosa pahala.
Berhembusan angin berdesir
Berguguran dedaunan ke pasir
Pada kesuma bijak berlangir
Bersihkan hati maniskan bibir.
Beralun air di tasik
Bertakungan hujan rintik
Pada kesuma ia berbisik
Berhati-hati jika diusik.
Bersama titisan embun
Beriringan hari dan tahun
Pada kesuma rindu beralun
Jagalah adab pupuklah santun.
Berterbangan cenderawasih
Berpasangan bagai kekasih
Pada kesuma sedang berkasih
Janganlah mudah cinta beralih.
Bergulungan ombak dan badai
Berkejaran memukul pantai
Pada kesuma leka bersantai
Usah tergoda bayang mahligai.
Bersiulan unggas mendayu
Berterbangan menyusur bayu
Pada kesuma dibuai sayu
Pohonlah hidayah agar tak layu.
Berbunyi gendang kecapi
Beralunan di malam sepi
Pada kesuma terluka hati
Bangunlah tuan kuatkan hati.
Bersahutan kidung alam
Berirama merdu di tengah malam
Pada kesuma di kamar kelam
Usahalah mencari nur salam.
Bertaut maya buana
Bercampuran perak kencana
Pada kesuma di hujung lena
Ada bahagia menanti di sana.
Sudah kutilik diri Kuteliti berkali-kali Pada cermin kenangan Di celahan retak seribu Terserlah karat dan debu Yang tiada terhapuskan.
Ingin sekali kutersenyum Menumpang suka Bercerita pada malam Ditemani purnama Dihiasi kejora Akan bahagia yang kuidam. Tapi apakan daya Senyumanku kian hambar Pandanganku semakin samar Fikiranku bertambah nanar Seleraku telah tawar Sukmaku sudah tercalar. Dalam jaga yang terpaksa Kukutip ihsan Kupungut redha Tuhan Yang Maha Esa Di laman nurani Luhur dan murni. Lalu kulontar segala duka Ke taman indah permai Melewati mawar kesuma Bertiup bayu laut Merentas gunung dan ngarai Membawa pergi sendu yang lara. Di sini sekali lagi Kularik sebuah mimpi Bersulam kelarai impian Kuukir indah Pada sebuah peta hati Dengan petunjuk nur suci.
Terbentang suatu jalan
Lorong indah dalam taman
Terpancar nur wangian raihan
Merentas titian zaman.
Menelusuri lorong nan lurus
Tertib adab langkah kaki
Sopan-santun tutur bicara
Harum wangi nafas dihela
Tanda ikhlas masih di jiwa.
Sampai ke satu simpang
Berpinar mata memandang
Tengadah celaru keliru
Harus dipilih jalan mana satu
Lorong pintas untuk maju.
Menyusur ke kanan tersentuh jiwa
Lelangit biru melangir mata
Rumput hijau menikam kaki.
Mengarah ke kiri tersandung hati
Embunan jernih membasuh daki
Hujan batu memukul dahi.
Mara ke depan, arusnya deras
Sabarkah hati memungut nafas
Berpatah balik, surut ke pangkal
Tidakkah nanti mendatang kesal.
Harus bagaimana mencari jalan
Setiap kali bertemu simpang
Bertempurlah akal hati
Menimbang ikhlas menghisab budi.
Malah hawa dan nafsu tumpang sekaki
Menampil pandang lorong indah
Walhal itu terowong derita
Terpukau mata terpana jiwa.
Demikian suatu lorong kehidupan
Berliku dan bersimpang
Bermula hayat dengan jasad
Berakhir jasad jadi mayat.
Akan bertemu titik akhir
Di liang sempit bawah tanah.
Noktah suatu lorong kehidupan
Yang hidup akan mati
Yang fana akan sirna
Yang kekal hanyalah Dia.
Sekuntum bunga hati
Kiriman seorang
sahabat
Harum mewangi di
laman jiwa
Direnjis embun nan
suci.
Lalu terpancar nur
kasih
Menerangi lorong
gelap
Membetulkan
langkah silap
Seekor burung yang
patah sayap
Mencari jalan
pulang
Tiada lagi putus
harap.
Segar mekarlah
bunga kalbu
Diusap semilir
rindu
Yang berlalu
merisik khabar
Perihal sahabat
jauh
Belum pernah
bersua muka
Belum pun sekali
bertentang mata.
DSM
Trong
Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com