Monday, October 15, 2018

Hati Samudera

Bismillah..

Hati kuman -  halus
Hati gajah - besar
Hati samudera - luas
Hati emas - mahal
Hati kaudu - busuk

Tentu ramai yang memilih untuk memiliki hati emas bukan?

Tapi kupilih untuk memperolehi hati samudera luasnya saujana mata memandang...mampukah aku??

Kenapa Hati Lautan?
Sebermula lautan terkumpul segala macam aliran air dari setitik menjadi  sekolam. 

Menakung dan mengalir dari kolam kumbahan dan kubangan yang bacin dan hanyir, peparitan dan longkangan yang busuk dan tengik hingga melewati denai dan jeram lalu mengalir memasuki anak-anak sungai menelusuri air terjunan lalu melimpahi sungai-sungai besar langsung bertemu di kuala dan muara hingga akhirnya bercantum segalanya menjadi lautan samudera yg sungguh luas. 

Subhanallah..dengan air lautan itu kita boleh saja bermandi-mandian, bersuci malah mengambil wuduk. Luasnya sehingga boleh dilalui kapal dan bahtera, didiami ikan yang tidak pernah masin walaupun air laut itu dicicap masin. Hairan kan? 

Segala yang timbul tenggelam hanyut sangkut tunggang terbalik tersandung terlentang diangkutnya sekali nun sampai ke kuala dan muara terus meluncur ke lautan nan luas. Kemarau tak mengering hujan tak melimpah. Pasang surutnya tepat tidak bertangguhan. Ajaib!

Dalam perjalanan yang jauh sudah pasti segala macam najis dan kotoran bercampur baur dengan aneka rencam sisa makhluk diangkut sekali masuk ke dalam hati lautan nan luas terbentang.

Lihat betapa berlapang dada dan berjiwa besarnya hati lautan menerima segala kebusukan dan onar. Lalu ditelannya dengan gulungan ombak syukur dan redha menghempas pantai berkali-kali lalu datang kembali menyaring menapis segala busuk menjadi masin hingga boleh saja merawat penyakit kulit manusia. 

Lalu diubahnya sekitar pantai menjadi bersih dan enak untuk manusia bersantai-santaian di hujung minggu.

Demikian tamsilan hati lautan sangat besar dan tegar berhijrah dengan sebenar-benar hijrah kerana Allah. Bukan sekali tapi berkali-berkali berusaha merubah pantai. Itulah hijrah daripada dalam hati bukan sekadar hijrah bungkus cukup setakat bertukar penampilan, pakaian dan pembawaan.

Tidak mudah untuk memiliki hati seampuh hati lautan. Datang yang kotor dibersihkan datang yg berat  ditenggelamkan. Datang yang ringan ditimbulkan. 

Hati lautan memuntahkan segala yang baik untuk manfaat insan. Walaupun asalnya di situ terkumpul segala kebusukan dan kerosakan.

Hati lautan adalah fitrah alam yang sujud bertasbih menurut perintah Tuhan..kerana pada akhir segala kehendak makhluk pasti tidak dapat mengatssi kehendak Tuhan Yang Maha Berkuasa!

Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Allahu Akbar

#SekadarMasaYangMasihAda
#LamunanTerhenti
#DiPinggiranLautanHati

Dang Sireh Mawar aka CDCD
14 Okt 2016
Changkat Jering

No comments:

Post a Comment

Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com