Wednesday, October 24, 2018

Pantun Insaf Diri


DSM
Tokai 
23 Okt 2018

Sunday, October 21, 2018

Diracun Hati Dituba Lidah

Buatlah jeruk apa pun janji sedap..
Pelam kelubi salak
Buatlah tapai apa pun janji manis..
Pulut atau ubi kayu
Buatlah pekasam jadikan lawan nasi panas-panas..
Tapi janganlah menjeruk menapai memperkasam dendam dan amarah..
Jangan diracun hati, dituba lidah
Tegakkan layar haluan pedoman
Kemudilah hati kawallah lidah
Jangan ditempah takdir buruk menyinggah
Merosak jiwa 
Membinasa akal budi
Menjatuhkan maruah diri..

#pesanpadahati

#ingatkanpadalidah
#seimbangkanakalbudi


DSM
Tokai
20 Okt 2018

Saturday, October 20, 2018

Kaulah Segalanya..

Ketika di atas "kaulah segalanya",
Dah jatuh tersepuk "kau siapa?".
Belum dapat bulan bintang ditayang-tayang jatuh ke riba,
Sudah dapat "kau kenal aku siapa?"..

#cucoqbawangbilis

#modehujanlebat

DSM

Tokai
13 Okt 2018

Sebelum Melabuh Mata..

Sebelum tidur maafkanlah sesiapa sahaja yang kita rasa tak puas hati. Walaupun sukar tetapi tidak mustahil. Walaupun luka telah kering tapi parut tetap ada, memang susah untuk memaafkan. Apalagi melupakan. Tetapi kerana Allah, pujuklah hati agar menyantuni sifat pemaaf. Lupuskan jeruk dendam amarah yang terbuku di hati, buang jauh-jauh.

Menyimpan dendam tidak akan membawa ketenangan jiwa. Malah susah nak tidur malam   kerana hati masih keras tepu dengan tapai dendam yang masam. Kalau berjaya  membuang dendam amarah..menangislah syaitan kecewa dan hampa kerana tak dapat menakluki hati kita yang fitrahnya suci murni..salam kasih sayang..selamat malam😪


DSM

Tokai
18 Okt 2018


Pesan Kepada Hati

Aduhai sahabat hatiku..
Mari kita penuhi hati ini dengan aneka puspa yang harum mewangi dengan rasa kecintaan kepada Tuhan dan sesama insan serta sekalian makhluk alam kecuali iblis dan syaitan.

Mari kita sental dan tawaskan hati dengan sintuk limau keimanan dan ketaqwaan agar pupus dan lenyap rasa kebencian dan api kemarahan yang diilhamkan syaitan dan macai-macainya.

Semoga hati kita kembali cerah bersinar gemerlapan seperti asal kejadian tatkala dilahirkan. 

Salam santun salam kasih sayang...

#merawathatiyangsakit
#mendidikjiwayanglukaparah
#memokepadahatiku

DSM
Tokai
17 Okt 2018



Tika Dan Masa

Solat itu bila tiba masa;
Taubat kena setiap masa;
Sebab buat dosa tak kira masa;
Sedekah jariah jangan diuntung rugi;
Ikhlaskan hati riak dijauhi;
Kerana ajal datang tak tentu hari.

#salamkasihsayang
#selamatmalam

DSM
Tokai
20 Okt 2018

Monday, October 15, 2018

Hati Samudera

Bismillah..

Hati kuman -  halus
Hati gajah - besar
Hati samudera - luas
Hati emas - mahal
Hati kaudu - busuk

Tentu ramai yang memilih untuk memiliki hati emas bukan?

Tapi kupilih untuk memperolehi hati samudera luasnya saujana mata memandang...mampukah aku??

Kenapa Hati Lautan?
Sebermula lautan terkumpul segala macam aliran air dari setitik menjadi  sekolam. 

Menakung dan mengalir dari kolam kumbahan dan kubangan yang bacin dan hanyir, peparitan dan longkangan yang busuk dan tengik hingga melewati denai dan jeram lalu mengalir memasuki anak-anak sungai menelusuri air terjunan lalu melimpahi sungai-sungai besar langsung bertemu di kuala dan muara hingga akhirnya bercantum segalanya menjadi lautan samudera yg sungguh luas. 

Subhanallah..dengan air lautan itu kita boleh saja bermandi-mandian, bersuci malah mengambil wuduk. Luasnya sehingga boleh dilalui kapal dan bahtera, didiami ikan yang tidak pernah masin walaupun air laut itu dicicap masin. Hairan kan? 

Segala yang timbul tenggelam hanyut sangkut tunggang terbalik tersandung terlentang diangkutnya sekali nun sampai ke kuala dan muara terus meluncur ke lautan nan luas. Kemarau tak mengering hujan tak melimpah. Pasang surutnya tepat tidak bertangguhan. Ajaib!

Dalam perjalanan yang jauh sudah pasti segala macam najis dan kotoran bercampur baur dengan aneka rencam sisa makhluk diangkut sekali masuk ke dalam hati lautan nan luas terbentang.

Lihat betapa berlapang dada dan berjiwa besarnya hati lautan menerima segala kebusukan dan onar. Lalu ditelannya dengan gulungan ombak syukur dan redha menghempas pantai berkali-kali lalu datang kembali menyaring menapis segala busuk menjadi masin hingga boleh saja merawat penyakit kulit manusia. 

Lalu diubahnya sekitar pantai menjadi bersih dan enak untuk manusia bersantai-santaian di hujung minggu.

Demikian tamsilan hati lautan sangat besar dan tegar berhijrah dengan sebenar-benar hijrah kerana Allah. Bukan sekali tapi berkali-berkali berusaha merubah pantai. Itulah hijrah daripada dalam hati bukan sekadar hijrah bungkus cukup setakat bertukar penampilan, pakaian dan pembawaan.

Tidak mudah untuk memiliki hati seampuh hati lautan. Datang yang kotor dibersihkan datang yg berat  ditenggelamkan. Datang yang ringan ditimbulkan. 

Hati lautan memuntahkan segala yang baik untuk manfaat insan. Walaupun asalnya di situ terkumpul segala kebusukan dan kerosakan.

Hati lautan adalah fitrah alam yang sujud bertasbih menurut perintah Tuhan..kerana pada akhir segala kehendak makhluk pasti tidak dapat mengatssi kehendak Tuhan Yang Maha Berkuasa!

Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Allahu Akbar

#SekadarMasaYangMasihAda
#LamunanTerhenti
#DiPinggiranLautanHati

Dang Sireh Mawar aka CDCD
14 Okt 2016
Changkat Jering

Saturday, October 13, 2018

Sekalung Budi

Sekalung budi setulus hati
Sekuntum kasih mekar di hati
Sampai di sini titik berhenti
Setelah tertunai kehendak hati.

Sedang asyik leka mencatat
Menelah segala yang tersurat
Lalu tersingkap tabir makrifat
Baru kukenal makna tersirat.

Alam maya beronak duri
Yang buruk yang baik tampak selari
Perlu disaring ditapis kendiri
Pati yang tulen harus dicari.

Sebelum berpisah ingin kurakam
Ucap kasih sembah salam
Pada Tuhan sekalian alam
Meminjamkan daku daya dan ilham.

Tak mampu kubina laman ini
Tanpa tapak dan rias seri
Pada tuan empunya yang berbudi
Salam kuhulur seikhlas hati.

Pada sahabat jauh di mata
Terima kasih setulus kata
Petua nasihatmu di hati bertakhta
Memantul cahaya dalam gelita.

Tiada kulupa rakan-taulan
Tuan empunya laman pilihan
Pustaka ilmu sanggar rujukan
Laman menarik hiasan tatapan.

Jika ada terkhilaf catatan
Bukanlah ia kemahuan fikiran
Itulah bukti kelemahan insan
Mohonlah daku tuan maafkan.

Adapun yang baik daripada Tuhan
Yang jelik itu kealpaan insan
Demikian termaktub dalam Al Quran
Bandingan mutlak sahaya dan Tuan.

Akhirul kalam daku berpesan
Terima kasih sidaun pandan
Andai tersandung di lain kesempatan
Singgahlah lagi janganlah segan. 



DSM
Trong


Gurindam Jiwa Di Taman Bahagia

Bermula suka timbul cinta
'Gurindam Jiwa' menawan sukma
Hingga lahir minat membara
Hamba mengarang pantun seloka.

Bukanlah pandai hamba bermadah
Bukan jua menunjuk megah
Sekadar mengubat hati nan gundah
Sambil berdendang lagu nan indah.

'Gurindam Jiwa' namanya lagu
Irama merdu orang dahulu
Membuai rasa di malam syahdu
Rindu menjengah mengusik kalbu.

Puspa menyapa bayu berlalu
Berlalu malam harum jambangan
Jambangan molek buat hiasan
Hiasan menjadi penyeri taman.

Masa remaja sudah berlalu
Berlalu silam tinggal kenangan
Kenangan mengusik ruang ingatan
Ingatan abadi sepanjang zaman.


Bermula suka timbul cinta
'Gurindam Jiwa' menawan sukma
Hingga lahir minat membara
Hamba mengarang pantun seloka.

Bukanlah pandai hamba bermadah
Bukan jua menunjuk megah
Sekadar mengubat hati nan gundah
Sambil berdendang lagu nan indah.

'Gurindam Jiwa' namanya lagu
Irama merdu orang dahulu
Membuai rasa di malam syahdu
Rindu menjengah mengusik kalbu.

Puspa menyapa bayu berlalu
Berlalu malam harum jambangan
Jambangan molek buat hiasan
Hiasan menjadi penyeri taman.

Masa remaja sudah berlalu
Berlalu silam tinggal kenangan
Kenangan mengusik ruang ingatan
Ingatan abadi sepanjang zaman.


DSM
Trong

Friday, October 12, 2018

Mengutip Bahagia

Di saat mata belum mau terkatup
Gundah menyelimuti diri
Terbayang esok apakah masih ada
Ruang dan peluang menemui bahagia
Sedang mencari kebahagiaan itu 
Ibarat mengutip serpihan kaca yang pecah
Tidak semua orang berjaya mengutipnya
Yang pasti akan ada yang terluka
Jika salah mengatur langkah
Jika sabar dan istiqomah
Tidak kental bertapak di jiwa

DSM

Tokai
11 Okt 2018

Pantun Tentang Cermin

Anak kepah anak senangin
Anak jelatek hinggap berteduh
Ketika marah lihatlah cermin
Wajah cantik bertukar hodoh.
Besi dikerat dibuat lembing
Besi karat dibuat lembing
Jika tertusuk membawa padah
Hati ibarat cermin di dinding
Jika berhabuk pudarlah wajah.

Batik sutera dari jawa

Beli kodi naik pedati
Indah bahasa lukisan jiwa
Mulia budi cerminan hati

Dang Sireh Mawar

Changkat Jering
9 Okt 2016

Sekadar Coretan Di Pinggir Kayangan

Sekadar coretan di pinggir kayangan..

Lukis Kata Hati

Berharap berpada-pada
Berhajat tengok tempat
Bercerita jangan semua
Baik sangka satu tempayan

Curiga satu pinggan
Waspada satu cawan
Hari ni bersandar bahu
Esok berlaga bahu
Lusa naik hantu

Adat berkawan adat berkasih
Mulut sopan hati bersih
Telan yang pahit jadi ubat
Luah yang manis buang mudarat

Sakit yang singgah akan pergi
Jasad yang hidup pasti mati
Timbang sama rasa
Sukat sama rata
Simpan satu cita-cita
Cari anak kunci ke syurga..

#LukisKataHati

#TurutRentakJari
#PesanPadaHati
#JanganLupaDiri
r♡
Dang Sireh Mawar
6 Okt 2016
Changkat Jering
Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com