Sunday, December 23, 2012

Doa Pembuka Apa Yang Tertutup

Thursday, December 6, 2012

Lelaki Itu - Feeza JB

Buat pertama kali mataku terbuka
Pertama kali jua mulutku bersuara
Menjengah alam dunia
Yang selama ini gelap gelita
Dan di telinga ini kalimah
Suci berkumandang
Memuji kebesaran Nya

Ku tatap lagi wajah lelaki itu
Dan kurasa hangatnya pelukan manja

Dan hari ini
Ku buka mata ini sekali lagi
Ku tatap wajah sepi seorang lelaki
Dapat ku baca redup matanya
"anakku ini akan pergi
pergi bersama seorang suami
jaga suami jagalah peribadi
semoga menjadi muslimah sejati"

Padamu Tuhan aku bermohon
Padamu jua aku berlindung
Tempatkan lelaki ini sentiasa dalam hidayah Lelaki yang selama ini kupanggil AYAH.

Selembar Sireh...Sekacip Pinang...

Selembar sireh di dalam puan
Kacip pinang berhati-hati;
Pondok upih berbumbung awan
Tiada hilang kasih di hati.

Kacip pinang berhati-hati
Tambah gambir secubit dua;
Tiada hilang kasih di hati
Walau gelambir kedut di muka.

Tambah gambir secubit dua
Sepiak sireh rasanya kelat;
Walau gelambir kedut di muka
Cinta kasih semakin erat.

Sepiak sireh rasanya kelat
Secalit kapur menambah perisa;
Cinta kasih semakin erat
Ikhlas jujur bertimbang rasa.

Secalit kapur menambah perisa
Petik sireh bertemu urat;
Ikhlas jujur bertimbang rasa
Setitik kasih timbang dan sukat.

Petik sireh bertemu urat
Keladi birah tumbuhnya rapat;
Setitik kasih timbang dan sukat
Api marah padamlah cepat.

Keladi birah tumbuhnya rapat
Pohon pinang tumbuh sebaris;
Api marah padamlah cepat
Air sembahyang buat perenjis.

Pohon pinang tumbuh sebaris
Sebatang pula tiada bertuan;
Air sembahyang buat perenjis
Sujud berdoa kepada Tuhan.

Sebatang pula tiada bertuan
Hanya berteman sireh berteduh;
Sujud berdoa kepada Tuhan
Ampunkan dosa panjangkan jodoh.

Hanya berteman sireh berteduh
Tinggal berdua bawah mentari;
Ampunkan dosa panjangkan jodoh
Ke hujung nyawa janji terpateri.

Tinggal berdua bawah mentari
Sireh bertepuk pinang menari;
Ke hujung nyawa janji terpateri
Serasi elok payah nak cari.

Sireh bertepuk pinang menari
Tinggal beralih bawah cempaka;
Serasi elok payah nak cari
Tersilap pilih dapat celaka.

Tinggal beralih bawah cempaka
Harum tempias wangian kasturi;
Tersilap pilih dapat celaka
Mohonlah kias petunjuk Illahi.

Petua Bistari

Jika berada dalam jamuan jagalah perangai
Di rumah orang menjaga mata
Di dalam solat menjaga hati
Kalau sendiri menjaga fikiran
Dalam pergaulan menjaga lidah

Jika berguru menjaga adab
Jika musafir menjaga santun.

Pantun Pusaka

Sarang tebuan jangan dijolok
Jika dijolok parahnya lama
Jika tidak parah merana jiwa;
Sayangku tuan tiadalah tolok
Susah senang digalas bersama
Harap bahagia ke hujung nyawa.

Bukan jelatik bukan jeladan
Bukan terpan tumbuh merata
Tapi kebasi diramu santan
Walau tak lama enak rasanya;
Bukan cantik ukuran padan
Bukan tampan ukuran mata
Tapi serasi diramu ehsan
Walau tak sama duduk dirinya. 

Penakik pisau raut
Ambil galah sebatang lintabung
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut
Sekepal dijadikan gunung
Alam terbentang dijadikan guru.

Rama-rama di surau gedang
Surat jatuh ke balik tabir
Pipit senandung makan padi;
Selama tuan di rantau orang
Ubat jauh penyakit hampir
Sakit ditanggung seorang diri.

Friday, July 27, 2012

Santapan Rohani

Ayat 97-98 dibaca berulang kali, insyaAllah orang yang mengamalkannya akan terhindar daripada sikap ragu dan was-was yang sentiasa menghantui fikiran.


"Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".

Ayat 109 adalah doa mohon keampunan dan kesayangan.


`Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi Rahmat'.

Sekalung doa ke hadrat Allah swt untuk hamba Allah 'INFINITY' yang dikasihi moga Rahmat Allah sentiasa menemaninya..amin... 

Saturday, July 14, 2012

Karangan Jiwa...untuk Cikgu Maria..

Pisang setandan tidak semuanya manis
Ada yang kelat sesikat dua
Tidak kurang yang kemetot buruk rupa
Yang manis jadikan pengat
Yang kelat buat kerepek
Yang kemetot cincang bagi itik makan

Semuanya ada manfaat jika kena cara
Itu pesan guruku..
Merangsang semangat juang anak-anak didiknya
Kerapkali kami buat tak endah..
Kadangkala kami mencelah 
Cikgu! telinga kami dah pekak!

Bebelan Cikgu berterusan..
Sejak berabad kita bangsa bermaruah
Bertolak ansur bersimpuh santun
Menjemput masuk mempersila duduk
Yang mendatang dijamu kenyang
Tuan rumah berpada apa yang sisa..

Kami mengeluh..mendengus..
Memberi isyarat tak faham apa-apa..
Sabar Cikgu sampai ke puncak..
Nah habuan! 
Pelepuk sekali dua kali..
Aduh..merah telinga!

Kawan-kawan ketawa..
Sekali lagi pelepuk pelepuk.
Semua diam..bungkam..
Cikgu keluar..
Lega!

Esok bebayang guru semalam tak muncul-muncul..
Kami tunggu setengah jam..
Pasti Cikgu dah serik berleter 
Atau letih membebel semalam
Langsung tak bangun-bangun!

Sebelum waktu rehat..
Guru Besar menyeru kami
Berhimpun ada berita mau disampaikan..

Bagai petir menyambar gegendang telinga..
Kami sebak kaku tak terkata
Cikgu Maria pergi dalam lena..
Bersalah! Kami memang bersalah!
Ampunkan kami Cikgu..
Kami khilaf kami alpa menghargai Cikgu..

Masa berlalu..
Setiap saat kami rindu wajah tenang Cikgu
Kami terbayang wajah kecewa Cikgu
Besertanya kami panjatkankan doa 
Moga Tuhan merahmati roh guruku bistari..

Kami dakap kata-kata azimatmu..
Adat orang meminta kena tahan telinga
Adat orang bersawah kena tahan pacat dan lintah. 
Adat orang berguru kena tahan dilatu
Ilmu karut bawa ke Hospital Bahagia
Ilmu sesat singgah ke neraka
Ilmu benar membuka pintu syurga..

Cikgulah serikandi terbilang..
Al Fatihah mengiringimu pulang...
Karangan jiwa kami bentangkan..
Semadilah dikau dengan tenang...amin!

Friday, February 24, 2012

Solat & Sains: Rahsia Solat Di Awal Waktu

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi Tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuh sebenarnya sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu ...). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la...) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Waktu inilah fenomena buta ayam terjadi. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.


Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya.
Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com