Monday, October 25, 2010

Sebutir Iman Secangkir Sabar

Apabila kesusahan mendatangi diri..
hilang pekerjaan
putus kasih
hutang melingkari pinggang
runtuh tempat berteduh
silap kaki melangkah
terbuat perkara salah
dipulau saudara
disisih keluarga
bersyukurlah..
kerana di luar sana
ada insan lebih malang
sedang dihimpit kemelaratan
sudahlah buta..
tiada pondok tempat berteduh
kudis bisul tumbuh melata
anak tak sudi
saudara menjauh
rakan pula menjeling benci
apa yang tinggal zahirnya tiada
hanya itu satu harta
sebutir iman dalam cangkir sabar!
solat terdiri atas percaya
doa dipanjat atas yakin
Tuhan Maha Adil, Maha Berkuasa
DIA YANG SATU
tersimpan rahsia segala ada
tersingkap rahsia segala tiada.

Apabila diri terlantar sakit..
bersyukurlah
kerana masih dipinjam nyawa
akal masih tajam
mata masih celik
mulut boleh berkata-kata..
mengarah dibeli itu ini..
mengidam nak makan semua dapat
ada adinda memujuk manja
ada kekanda membelai sayang
sedang di luar sana
ada insan sihat kaya raya
tiba-tiba rebah
langsung lumpuh segala anggota
hilang daya fikir untuk berbicara
lari semua harta benda
sirna segala citra bahagia
sang kekasih menjuih bibir
yang dulu sentiasa memuji
rasa loya tekak kawan
yang dulu mengampu mengipas
mata berkedip berkelip memandang jauh
ke mana aku..
apa sudahnya aku..
siapa kini aku..
titis hujan sayu di hati
air mata kering sendiri
tiada siapa peduli..
tapi satu jua yang masih tinggal
menemani tuan..
menghirup kepedihan
itulah satu harta
sebutir iman dalam cangkir sabar!
solat terdiri atas percaya
doa dipanjat atas yakin
Tuhan Maha Adil, Maha Berkuasa
DIA YANG SATU
tersimpan rahsia segala ada
tersingkap rahsia segala tiada

Apabila merasai gelap pandangan
kerana bergoncang rumah dan tangga
bersyukurlah kerana tiang seri
kayu gelegar dan alang masih teguh..
sedang di luar sana
ada masjid yang telah lama terbina
runtuh sekelip mata
hilang pertimbangan akal budi
buang tangga berayun kaki
retak sudah lama menunggu belah
bernyala obor sengketa
punah sudah cangkir sabar!
hilanglah harta satu-satunya
sebutir iman terbelah dua!!

Monday, October 18, 2010

Kutanya Diri..Mampukah?

Duduk tidak sama rendah,
berdiri mungkin senget sebelah,
tuah untung hanya sezarah,
kaki cedera jiwa parah,
harus teguh hati melangkah,
arus songsang sedia ditongkah,
sebelum jasad pulang ke tanah,
sementara urat masih berdarah,
pantang sekali menyerah kalah,
perjuangan hidup tiada bernoktah,
walau pun mati bergalang tanah,
terus berjuang di alam barzah,
berbekal amal sedekah jariah,
serta doa anak yang barakah,
untung nasib sudah ditelah,
pintu taubat tertutuplah sudah,
menanti tiket terakhir diserah,
di padang luas menunggu dikerah
pintu mana kita diarah,
di situ titik berhenti hijrah,
lalu di sini kutanya diri..mampukah?
kukembali kepada Allah,
bersama sekuntum bunga maghfirah..
..wallahu'alam..

Thursday, October 7, 2010

Pesanan unuk anakanda

Bunga dendam jangan dibiar mekar
kerana suburnya tak lain daripada hasil siraman air kencing syaitan
tidak ada barakah, hanya mengundang padah
hati jadi gelisah, jiwa sentiasa marah
akal budi hilang arah, air muka tidak cerah
tubuh badan seakan demam tidak kebah.


ingatlah anak-anaku...
sabar itu bunga iman
doa itu tunjang taqwa
usaha itu ranting tawakkal
bajainya dengan zikir dan istighfar
sandarkan seluruh pengharapan padaNya..
tiada yang dapat menolong kita selain Dia Yang Maha Berkuasa!
Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com