Apabila kesusahan mendatangi diri..
hilang pekerjaan
putus kasih
hutang melingkari pinggang
runtuh tempat berteduh
silap kaki melangkah
terbuat perkara salah
dipulau saudara
disisih keluarga
bersyukurlah..
kerana di luar sana
ada insan lebih malang
sedang dihimpit kemelaratan
sudahlah buta..
tiada pondok tempat berteduh
kudis bisul tumbuh melata
anak tak sudi
saudara menjauh
rakan pula menjeling benci
apa yang tinggal zahirnya tiada
hanya itu satu harta
sebutir iman dalam cangkir sabar!
solat terdiri atas percaya
doa dipanjat atas yakin
Tuhan Maha Adil, Maha Berkuasa
DIA YANG SATU
tersimpan rahsia segala ada
tersingkap rahsia segala tiada.
Apabila diri terlantar sakit..
bersyukurlah
kerana masih dipinjam nyawa
akal masih tajam
mata masih celik
mulut boleh berkata-kata..
mengarah dibeli itu ini..
mengidam nak makan semua dapat
ada adinda memujuk manja
ada kekanda membelai sayang
sedang di luar sana
ada insan sihat kaya raya
tiba-tiba rebah
langsung lumpuh segala anggota
hilang daya fikir untuk berbicara
lari semua harta benda
sirna segala citra bahagia
sang kekasih menjuih bibir
yang dulu sentiasa memuji
rasa loya tekak kawan
yang dulu mengampu mengipas
mata berkedip berkelip memandang jauh
ke mana aku..
apa sudahnya aku..
siapa kini aku..
titis hujan sayu di hati
air mata kering sendiri
tiada siapa peduli..
tapi satu jua yang masih tinggal
menemani tuan..
menghirup kepedihan
itulah satu harta
sebutir iman dalam cangkir sabar!
solat terdiri atas percaya
doa dipanjat atas yakin
Tuhan Maha Adil, Maha Berkuasa
DIA YANG SATU
tersimpan rahsia segala ada
tersingkap rahsia segala tiada
Apabila merasai gelap pandangan
kerana bergoncang rumah dan tangga
bersyukurlah kerana tiang seri
kayu gelegar dan alang masih teguh..
sedang di luar sana
ada masjid yang telah lama terbina
runtuh sekelip mata
hilang pertimbangan akal budi
buang tangga berayun kaki
retak sudah lama menunggu belah
bernyala obor sengketa
punah sudah cangkir sabar!
hilanglah harta satu-satunya
sebutir iman terbelah dua!!
Duduk tidak sama rendah,
berdiri mungkin senget sebelah,
tuah untung hanya sezarah,
kaki cedera jiwa parah,
harus teguh hati melangkah,
arus songsang sedia ditongkah,
sebelum jasad pulang ke tanah,
sementara urat masih berdarah,
pantang sekali menyerah kalah,
perjuangan hidup tiada bernoktah,
walau pun mati bergalang tanah,
terus berjuang di alam barzah,
berbekal amal sedekah jariah,
serta doa anak yang barakah,
untung nasib sudah ditelah,
pintu taubat tertutuplah sudah,
menanti tiket terakhir diserah,
di padang luas menunggu dikerah
pintu mana kita diarah,
di situ titik berhenti hijrah,
lalu di sini kutanya diri..mampukah?
kukembali kepada Allah,
bersama sekuntum bunga maghfirah..
..wallahu'alam..
Bunga dendam jangan dibiar mekar
kerana suburnya tak lain daripada hasil siraman air kencing syaitan
tidak ada barakah, hanya mengundang padah
hati jadi gelisah, jiwa sentiasa marah
akal budi hilang arah, air muka tidak cerah
tubuh badan seakan demam tidak kebah.ingatlah anak-anaku...
sabar itu bunga iman
doa itu tunjang taqwa
usaha itu ranting tawakkal
bajainya dengan zikir dan istighfar
sandarkan seluruh pengharapan padaNya..
tiada yang dapat menolong kita selain Dia Yang Maha Berkuasa!
Bazar Ramadan tumbuh bagai cendawan
Tak kira hari panas atau hujan
Manusia berpusu mencari habuan
Menjamu selera apa saja yang mata berkenan
Sudah hilang akal pertimbangan
Yang menjadi pantangan selama sebelas bulan
Hari ini disebat sampai hampir pengsan
Kerana menurut hawa nafsu 'Raja Makan'
Sakit bisa badan belakang hitungan
Asal tercapai hajat impian
Semuanya tak jadi halangan
Sanggup pusing satu bazar Ramadan
Mencari yang teringin tekak nak makan
Tak sampai 30 Ramadan
Terguling-gantang minta bantuan
Darah naik angin satu badan
Menyesal meraung menangis sakan
Dalam wad sambut hari Lebaran
Apa nak buat nasib badan
Bukan salah takdir Tuhan
Terlajak kereta boleh gostan
Terlajak makan binasa badan
Sepatutnya Ramadan bulan mentarbiah iman
Tahu menilai batas sempadan
Makan sekadar mengenyangkan
Amal ibadah yang perlu dipertingkatkan
Tapi melencong pula arah haluan
Bersengkang mata membuat belanjawan
Sibuk mencongak biskut apa untuk tempahan
Perabut pinggan cawan semua jadi tumpuan
Panjut mercun lampu lip lap tak dilupakan
Fesyen dan warna baju apa untuk diperagakan
Biar sedondon warna pakaian
Langsung terlupa pahala ganjaran
Kiriman Tuhan untuk insan
Yang tekun beribadah dan berpuasa sebulan
Memenuhi segala syarat dan tuntutan.
Saat ini aku sangat mengingati kalian…Tersua catatan-catatan silam di laman mayaTerbayang buih-buih kemesraan Terapung di kolam pertemuan Buih-buih keceriaan dan keterujaanBersatu dan bercerai, kemudian bersatu lagi..Diayak rasa silu, diayun gelora rindu…Banyak kata yang tak sempat diucapBanyak soal yang belum sedia dirungkai..Baru selembar benang impian disulam bersama..Tiga bebuih ceria meminggirTinggalkan semua ceritaYang semalam menjadi senda gurauanCitra kelmarin hanya kenang-kenangan Tiada lagi diwarnai canda tawaSirnalah pelangi persahabatan.Tinggal kini di hadapanku Sehelai gebar rindu yang kusamBelum usai dijahit manik perada kesetiaanSumpah janji saling membelaSaat susah dan senang bersama…Tika ini aku tidak malu menangis..Merindui kalian yang semakin jauh…Wahai sahabat .....Untuk selamanya hingga ke hujung nyawaKalian di hatiku…Al-Fatihah..
Segar mekar bunga kalbu
Diusap semilir rindu
Yang berlalu merisik khabar
Perihal sahabat jauh
Jarang bersua muka
Lama tidak bertentang mata
Lewat 28 tahun berlalu.
Takdir Tuhan siapa menduga
Dihunjamkan rasa mahu
Serumpun bilah kasih disatu
Bertemu memberi salam, mengimbau wajah silam
Tersingkap jendela kenang-kenangan
Alam remaja yang telah ditinggalkan.
Mengimbas cermin kenangan…
Di celahan retak seribu
Barangkali ada yang terguris
Menjeruk rasa dalam diam
Terkhilaf tafsir, terlanjur bicara, terlajak laku…
Lalu membentuk secalar benci
Sekelumit dendam yang panjang…
Menginjak remang-remang senja
Berbekalkan ilmu dan pengalaman
Kedewasaan dan kematangan
Mari kita noktahkan segalanya
Dengan kemaafan dendam yang terindah.
Untuk masa depan yang tidak mampu diramalkan
Silaturrahim ini kita kalungkan
Dengan untaian doa dan rantaian salam
Menjadi kenang-kenangan indah di hari tua
Tidak akan ada lupa-melupai, sebagai rambut tersimpul mati
Dengarkan dengan hati, lihatlah dalam mimpi
Walau sesaat kita pernah menjadi sahabat.
Akan pasti ada mata yang bergenang
Bertukar cerita, berkongsi suka-duka
Menumpang gembira kawan bahagia
Atau bungkam terkedu
Bermain silang kata
Meneka merasa beban derita yang ditanggung
Terlantar sakit atau berpisah rumah dan tangganya.
Dalam dakapan bayu senja terbetik berita
Kawan yang telah dipanggilNya pulang dahulu
Al-Fatihah dan doa mengiringimu
Tangis sendu, hiba pilu…menginsafkan diri
Entah bila pula dedaunan kering gugur menyapa nama kita…
Dalam bercanda barangkali ada yang tersipu
Diusik citra dahulu
Ketika ubun-ubun masih hijau
Otak besar akal kecil
Berani mati asal tercapai hajat di hati.
Berlalu riwayat musim…
Kini kita berkumpul semula
Beramai di redup petang yang permai
Bukan mengigau bukan mamai
Inilah ketentuan Tuhan
Mengizinkan arca kasih dan sayang
Diukir dan dipahat teguh
Menghuni puncak hati yang damai.
Sesudah subuh esok kita jalani hidup
Seadanya, seindah biasa membantu sekadar upaya
Memberi tongkat pada yang capik
Membekal lampu suluh dalam relung kehidupan kawan yang gulita
Menuntun jalan sibuta
Menegur menyedarkan yang terleka
Menunjuk arah pada yang tersesat
Meminjam telinga yang setia mendengar
Menyediakan hati yang ikhlas mengerti
Makna jalinan persahabatan yang abadi.
Meskipun jalan hidup mungkin berbeda
Arah fikir tidak serupa
Darjat ditimbang sukat tidak sama
Tapi ada satu yang menyatukan
Serumpun bilah kasih terikat erat
Kerana akad dan tekad untuk saling mengambil berat
Demi kemaslahatan hidup dunia dan akhirat.
Lalu terpancarlah nur kasih
Menerangi lorong gelap
Membetulkan langkah
Seekor burung yang patah sayap
Mencari jalan pulang
Tiada lagi putus harap
Kerana ada serumpun sahabat akrab.
Terimalah secalit tinta, sekuntum bunga hati
Kiriman seorang sahabat
Harum mewangi di laman nurani
Direnjis embun nan suci
Tanda terima kasih atas segalanya…
berladung air mata...susah hendak dibendung...kuseka masih menitis...setelah lama aku terlupa bagaimana mahu menangisapa hikmah terhijab...mana soalan tidak berjawabada jari terhiris sendiri...ada hati tertusuk duri..telah hilang upaya kendirisemilir pun tak mahu menyapa lagipuspa dipuja gugur ke bumigaram tidak masin lagigula hangus dibakar mentari..kain basah kering di pinggangmalam resah mengejar siangsiang mengejar bayang-bayangapakah esok fajarkan menjelangmembawa pulang serimbun sayangmerawat tasik hati yang kering-kontang.
Hakcipta Dang Sireh - www.blogger.com